Menerusi beberapa sistem pengurusan yang diguna pakai oleh pihak sekolah, ibu bapa boleh menghubungi pihak sekolah pada bila-bila masa dan boleh mencapai rekod prestasi anak-anak. Sebagai timbal balas, pihak sekolah juga boleh menghubungi ibu bapa.
Jelas sekali, teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) telah membuka peluang yang cukup luas untuk pihak pengurusan sekolah menjadi lebih telus,efisyen, dan berkesan.Ketelusan pengurusan sekolah boleh meningkatkan keyakinan ibu bapa terhadap sekolah, lantas menggalakkan ibu bapa untuk memberi lebih sokongan dari segi sumber dan juga moral terhadap program-program yang ingin dilaksanakan oleh pihak sekolah.Jalinan intim antara pihak sekolah dan ibu bapa pastinya akan memotivasikan pihak sekolah untuk meningkatkan keberkesanan pengurusan – termasuk dalam pengurusan ICT. Begitulah antara pemerhatian saya tentang kelebihan daripada penggunaan teknologi dalam pengurusan sekolah.
Sumber daripada British Education Technology Agency (Becta) melaporkan, pada 2009, sebanyak 80 peratus sekolah di Britain menggunakan medium Internet sebagai sumber interaksi maklumat dengan ibu bapa. Jelaslah bahawa sistem pengurusan memang banyak manfaatnya jika dapat diaplikasikan di sekolah. Masalah disiplin, prestasi pembelajaran, dan hal-hal kecemasan yang memerlukan tindakan segera berkaitan anak-anak dapat dicapai dengan serta merta.Laporan Becta turut menyatakan bahawa berlaku aktiviti atas talian dalam kalangan ibu bapa ketika membantu pembelajaran anak-anak. Menurut laporan itu, ibu bapa yang prihatin ini akan melayari Internet dan menilai kualiti pengisian secara pintar, menggunakan teknologi untuk menyokong minat dan hobi anak-anak, serta memastikan anak-anak melayari Internet dengan selamat.
Dalam konteks negara kita, apa yang saya sering dengar ialah permintaan ibu bapa untuk membuat pendaftaran persekolahan anak, membeli buku,dan mendapat tindak balas dari pihak sekolah secara on line. Sememangnya, inilah antara hasrat semua pihak apabila teknologi diperkenalkan dalam pendidikan.Walau bagaimanpun, ada juga yang kurang jelas tentang manfaat pengurusan sekolah yang berbantukan teknologi.
Ada yang berpendapat kurang kepakaran untuk menggunakan teknologi komunikasi adalah satu halangan besar. Pihak pengurusan sekolah perlu mengepalai penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi di peringkat sekolah.Kemahiran asas boleh dipertingkatkan ke tahap yang lebih tinggi dengan penggunaan yang kerap.S aya teringat semasa berusaha untuk menguasai kemahiran menggunakan teknologi maklumat tanpa sebarang latihan formal untuk menulis tesis bagi ijazah kedoktoran. Saya boleh melakukannya dan saya yakin pengetua pun boleh. Memang tidak mustahil.Kita memang boleh!
- Dr Norrizan Razali ialah pakar strategi dalam transformasi pendidikan.
Beliau kini ialah Ketua Jabatan Sekolah Bestari Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDEC), Cyberjaya